Pelaksanaan
peraturan dan undang-undang pendidikan dalam amalan pendidikan di Malaysia
Pelaksanaan peraturan dan undang-undang pendidikan dalam amalan pendidikan di Malaysia adalah sangat penting. Hal ini demikian kerana peraturan dan perundangan pendidikan merupakan dokumen bertulis yang dapat dijadikan sebagai panduan dalam kehidupan sekiranya berlaku masalah. Peraturan dan perundangan pendidikan merupakan peraturan yang disahkan sebelum digunakan. Selain itu, peraturan dan perundangan pendidikan mempunyai kaedah pembuatan hukuman yang sama. Peraturan dan perundangan pendidikan juga dapat mengawal dan memastikan objektif institusi pendidikan tercapai. Maka, pendidikan Malaysia dapat berkembang maju.
Peraturan pendidikan merupakan syarat yang perlu dipatuhi oleh
sesebuah organisasi bagi mengelakkan berlakunya masalah. Peraturan pendidikan
juga merupakan satu bentuk kawalan ke atas semua penjawat awam untuk menjamin
kesejahteraan hidup. Sementelahan itu, peraturan pendidikan ini dapat mengawal
perbuatan berkaitan moral yang menjamin keadilan. Kepentingannya adalah untuk
mewujudkan sistem tadbir urus yang cekap dan berkualiti. Bertitik tolak
daripada itu, tujuan peraturan pendidikan ini dibina untuk mengehadkan,
mendisiplinkan, mengawal dan menyekat tindak-tanduk guru dan murid. Dengan ini,
sekolah yang selamat dapat diwujudkan. Peraturan pendidikan ini dapat menjadi
panduan kepada guru dan memastikan guru mengambil tindakan yang sewajarnya.
Peraturan pendidikan adalah lebih kepada menjaga sistem pendidikan supaya
sentiasa dapat menghasilkan insan yang dihasratkan melalui sistem pembelajaran.
Sebagai contohnya, pembelajaran dan pengajaran guru akan lebih bersifat
sistematik dalam melahirkan modal insan kelas pertama.
Perundangan pendidikan merupakan semua peraturan yang
berkaitan tingkah laku yang dibentuk mengikut autoriti atau adat sesuatu kaum. Perundangan
pendidikan adalah undang-undang yang telah digubal oleh sesebuah badan
pengubalan undang-undang yang bertujuan melindungi hak individu dan kebebasan
tertentu supaya tiada yang melampau bidang kuasa. Dengan ini, keselamatan
pendidik dan pelajar dapat dijamin. Perundangan pendidikan juga digubal untuk
memastikan guru-guru serta pegawai pendidikan menjalankan tugas dengan betul
dan tidak menyalahgunakan kuasa. Di samping itu, Perundangan pendidikan juga
dijadikan sebagai garis panduan dalam menjatuhkan hukuman kepada guru-guru yang
melanggar tatatertib dan salah laku. Perundangan pendidikan ini telah
mengehadkan dan menyediakan garis panduan kepada guru untuk menjatuhkan sesuatu
hukuman terhadap pelajar.
Antara peraturan yang perlu dipatuhi oleh guru termasuklah:
1. Pekeliling Ikhtisas & Kementerian
Pekeliling Ikhtisas dan Kementerian merupakan warta kerajaan
yang dikeluarkan dan diedarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dari semasa
ke semasa. Tambahan pula, Pekeliling Ikhtisas dan Kementerian juga merupakan
satu arahan dan garis panduan dalam melaksanakan suatu tugasan dan
perkhidmatan. Pekeliling Ikhtisas dan Kementerian merupakan punca kuasa yang
perlu dipatuhi oleh guru-guru. Antara contohnya ialah SPI.BIL.4/1975 (Nyanyian
Lagu Kebangsaan dan quot).
2. Akta Pendidikan 1996
Akta Pendidikan 1996 merupakan suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi pendidikan dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Akta Pendidikan 1996 juga dikenali sebagai Akta 550 untuk dijadikan sebagai rujukan dalam melaksanakan tanggungjawab warga pendidik agar sentiasa berada di landasan yang betul.
Akta Pendidikan 1996 (Akta
550) mengandungi peraturan-peraturan khusus mengikut seksyen 130, menteri
berkuasa membuat peraturan-peraturan pendidikan berikut:
i. Pendidikan khas
ii. Persatuan sekolah
iii. Kurikulum pra sekolah
iv. Kurikulum kebangsaan
v. Penilaian &
peperiksaan
vi. Penggal, hari dan cuti
sekolah
vii. Pendaftaran institusi
pendidikan
viii. Institusi pendidikan
swasta (iklan)
ix. Persatuan Ibu
Bapa – Guru (PIBG)
x. Majalah sekolah dan
bahan multimedia.
xi. Institusi pendidikan
swasta (piawaian)
xii. Peperiksaan,
penilaian dan pensijilan IPG
xiii. Kursus pengajian dan
program latihan IPG
xiv. Institusi pendidikan
swasta (disiplin murid)
xv. Peperiksaan dan
penganugerahan sijil/diploma politeknik
xvi. Kurikulum kursus
pengajian dan program latihan di politeknik
xvii. Penerimaan masuk murid ke sekolah penyimpanan daftar dan syarat bagi pengekalan murid belajar di sekolah
Secara ringkas
peraturan-peraturan tersebut boleh dikelompokkan kepada 4 kategori:
i. Peraturan berkaitan
institusi pendidikan
ii. Peraturan berkaitan
kurikulum
iii. Peraturan berkaitan
bahan pendidikan
iv. Peraturan berkaitan
masyarakat
3. Perintah Am Bab D
Perintah Am Bab D merupakan peraturan-peraturan pegawai awam
(Kelakuan dan Tatatertib) yang mencakupi kewajipan pegawai awam mematuhi
peraturan, kawalan dan pengawasan tatatertib. Selain itu, Perintah Am Bab D juga
menyenaraikan kesalahan dan ketidakpatuhan terhadap prosedur tatatertib yang
boleh disabitkan dengan hukuman tatatertib dan penamatan perkhidmatan demi
kepentingan awam. Sebagai analoginya, seseorang pegawai tidak boleh membelangkan
tugas awamnya demi kepentingan peribadi, memburukkan nama atau mencemarkan nama
perkhidmatan awam, melakukan ganggguan seksual, keterhutangan yang serius,
membuat pernyataan awam, melakukan perkerjaan luar, tidak mematuhi etiket
pakaian dan lain-lain lagi.
4. Undang-undang Sivil & Syariah
Undang-undang Syariah merupakan hukum perundangan Islam dari Allah SWT bagi umatNya bersumberkan al-Quran dan as Sunnah Rasulullah SAW termasuk kesalahan berkaitan hubungan tidak sah seperti khalwat dan persetubuhan haram. Undang-undang Sivil merupakan sekumpulan undang-undang yang mengawal hak dan tanggungan (liabiliti) sivil antara individu dengan individu, individu dengan masyarakat dan masyarakat dengan individu. Antara contohnya ialah hak asasi kanak-kanak bagi mendapatkan pendidikan. Terdapat satu lagi undang-undang , iaitu undang-undang jenayah yang berfungsi mengawal kesalahan yang dilakukan terhadap masyarakat. Sebagai misalannya, sekiranya seseorang mencuri, maka undang-undang jenayah akan digunakan untuk mengawal atau menghukum si pencuri itu.
No comments:
Post a Comment